Thursday, August 19, 2010

Beri Semangat Anak Puasa...




Oleh Siti Zarinah Sahib
HMetro

PADA umur berapa anda melatih anak berpuasa? Adakah pada usia empat dan lima tahun atau setelah melangkah ke sekolah rendah?



Ramai ibu bapa bimbang sekiranya anak tidak mahu berpuasa walaupun sudah mencecah usia tujuh tahun. Oleh itu, ada yang menggunakan pendekatan psikologi dengan memberikan ganjaran berbentuk barang dan wang ringgit kepada anak.

Walaupun cara ini tiada salahnya, perlu diingat latihan berpuasa hendaklah berdasarkan kemampuan anak-anak mengikut peringkat usianya.

Anak-anak perlu diberi galakan dan bukannya paksaan dalam menjalani ibadah puasa.

Menurut Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Md Nor, melatih anak berpuasa perlu dilakukan secara berperingkat.

Pada usia tiga tahun, ibu bapa sudah boleh melatih anak berpuasa dengan cara meminta mereka supaya tidak minum susu atau air separuh hari.

Sekiranya pada hari pertama anak anda berjaya menahan lapar dan dahaga separuh hari, keesokannya cuba panjangkan tempoh berpuasa sehingga jam dua petang. Begitulah seterusnya sehingga dia berjaya puasa penuh.

"Latihan secara berperingkat ini tidak akan memenatkan kanak-kanak selain melatih mereka membuat persediaan sedikit demi sedikit," katanya.



Tambahnya, tiada umur sesuai untuk anak mula berpuasa penuh kerana ada yang berusia lima tahun sudah berpuasa penuh. Ada juga kanak-kanak walaupun berusia lapan tahun masih belum mampu berpuasa penuh.

Justeru, ibu bapa harus menggunakan pendekatan yang bijak bagi mengajar anak berpuasa walaupun mereka masih belum baligh dan diwajibkan berpuasa iaitu dengan mengajar mereka mengenai persaingan.

Mengikut peringkat usia kanak-kanak, pada usia akhir iaitu tujuh hingga 11 tahun, kanak-kanak sudah mempunyai sifat untuk bersaing.

Seharusnya ibu bapa menggunakan peluang ini untuk mewujudkan persaingan sihat. Misalnya dengan memberi kata-kata semangat seperti, "Lihat kakak boleh puasa, adik belum lagi," ataupun, "Abang bijak sebab puasa."

Dengan cara ini, anak-anak akan tercabar untuk melakukan perkara sama supaya mendapat pujian daripada ibu bapa.

"Ramai ibu bapa beranggapan persaingan hanya wujud pada kanak-kanak ketika mereka bermain di padang. Namun, persaingan dalam berpuasa harus disemarakkan ketika mereka masih pada usia awal iaitu belum pun mencecah usia setahun sehingga dua dua tahun dan peringkat pertengahan dua hingga tujuh tahun," katanya.

Bagi ibu bapa yang memberikan ganjaran seperti duit atau barang seperti kasut dan baju baru kepada anak-anak yang berpuasa penuh, tindakan ini tiada salahnya.

Namun, ia mungkin dilakukan pada permulaan puasa sahaja dan selepas itu tidak lagi diumpan dengan duit atau barang. Ini kerana khuatir anak-anak berpuasa kerana ingin mendapatkan sesuatu.

Sebaiknya, terangkan kepada mereka mengenai puasa dan tujuan berpuasa supaya mereka merasai penderitaan golongan yang tidak berkemampuan serta bersama-sama menghargai setiap makanan yang diberi kepada mereka.

Selain itu, sikap ibu bapa yang tidak sanggup melihat anak berkeadaan lemah, longlai dan lesu ketika berpuasa dan meminta mereka berbuka akan menghalang keinginan anak untuk berpuasa penuh.

Sebaliknya ada anak mengambil kesempatan dengan kelembutan ibu bapa 'berlakon' seolah-olah mereka tidak berdaya berpuasa.

"Sebaiknya ibu bapa memberi kata-kata semangat supaya anak-anak meneruskan puasa sehingga waktu berbuka.

"Sekiranya ibu bapa dengan mudah meminta anak berbuka puasa, anak akan beranggapan ibu bapa tidak serius mengajar mereka berpuasa," katanya.

Anak yang masih kecil perlu disemai jiwanya dengan contoh teladan yang baik. Anak kecil sebenarnya mudah untuk dididik berpuasa.

Sebaiknya, sediakan pelbagai program sepanjang hari untuk mereka lakukan bagi mengisi masa terluang supaya tidak begitu terasa keletihan berpuasa.

Antara panduan yang boleh diikuti ialah:


Elakkan menonton rancangan televisyen yang akan menggugat puasa mereka apabila mereka melihat iklan makanan yang begitu menyelerakan.

Jangan lupa melatih anak niat berpuasa. Amalkan membaca niat berpuasa bersama keluarga selepas makan malam, dengan cara ini anak akan lebih seronok.

Jangan biarkan mereka terlalu aktif bermain. Buat aktiviti misalnya dengan membacakan buku cerita atau menonton cakera padat video berfaedah setiap hari.

Sediakan menu makanan berbuka dan sahur untuk anak sama sahaja dengan menu orang dewasa.
Jika boleh dan berkemampuan, hidangkan makanan kegemaran mereka supaya mereka bersemangat berpuasa sehingga tiba waktu berbuka.

Pada malam hari, ada baiknya anak diberi makan lagi sebelum tidur atau pada saat senggang pada waktu malam.

Menurut Pakar Pemakanan, Hospital Pakar KPJ Tawakal, Dr Gan Yian Kee, ibu bapa harus memberi gizi makanan seimbang kepada anak-anak yang berpuasa mengikut piramid makanan iaitu dengan melebihkan protein dan karbohidrat dalam masakan.

"Untuk berbuka dan bersahur, banyakkan makanan daripada jenis protein dan lemak seperti daging, nasi, telur, ikan dan ayam.

"Semakin banyak lemak dan protein yang diambil ketika sahur, secara semula jadi tenaga yang dimiliki kanak-kanak lebih besar. Namun ibu bapa harus memantaunya supaya mereka tidak makan secara berlebihan dikhuatiri menjejaskan perut," katanya.

Makanan mengandungi gula yang mempunyai sumber karbohidrat juga digalakkan kerana gula mudah diserap ke dalam tubuh menjadi sumber tenaga.

Selain itu, untuk berbuka puasa banyakkan pengambilan vitamin dan kalsium menerusi makanan sayuran hijau, buah oren dan epal, juga pengambilan minuman susu dan soya panas. Jangan galakkan anak anda minum minuman berais ketika berbuka puasa.

Kurangkan makanan bersantan, pedas dan masam sebaliknya banyakkan makanan berserat kerana membantu serta melancarkan pembuangan air kecil dan besar serta mengelak rasa lapar berpanjangan.

Contoh hidangan yang boleh diberikan kepada anak anda ketika berbuka puasa dan bersahur. Bagi setiap kumpulan anda boleh memilih satu menu.

Menu utama

> Karbohidrat:
· Satu senduk nasi putih
· Dua cawan bubur nasi
· Enam keping biskut berkrim
· Dua keping roti putih

> Protein :
· Separuh ikan kembung
· Sebiji telur
· Satu sudu kacang panjang
· Satu paha ayam

> Vitamin:
· Sepotong tembikai
· Sepotong betik
· Dua potong nanas
· Setengah biji belimbing

> Hidangan sayur-sayuran:
· Secawan sayur campur
· Dua hiris tomato

> Minuman:
· Segelas susu, sekeping keju atau segelas dadih.


p/s : setakat hari ni...alhamdulillah kak long Hasya berpuasa penuh...kalau tahun lepas cuma separuh hari...tahun ni..harap2 dpt puasa penuh...cuma hari pertama & kedua puasa....asyik tgk jam & tanya lagi brapa jam nak berbuka......mengadu sakit perut laaa, peninglah...mcm2 alasan...mama & papa buat x layan jer...masuk hari keempat dia pun dah malas nak bg alasan sbb dah tahu xde siapa yang nak layan.....:)

2 comments:

  1. Anak I dah start posa umur 5 tahun, tahun ni 6 tahun ..so far ponteng posa 4 ari...semoga dia dpt posa sampai raya

    ReplyDelete
  2. Aleyn-
    bagusnya...permulaan yg baik...:)

    ReplyDelete