Monday, August 30, 2010

Ketawa Dengar Gosip - Ekin Mawi



HUJAN lebat membasahi perkarangan institusi berprestij Istana Budaya petang itu. Bagaikan tempias kepada wanita cantik ini kerana hatinya juga pernah basah dihujani dengan pelbagai cerita kurang manis.




Serba salah pula rasanya untuk terus ‘menembak’ anak Johor Bahru ini dengan persoalan busuk yang meniti kamus hidupnya. Namun lagak peramah dan sikap mudah mesra Ekin tidak pernah berubah, lantas dia pula yang bertanya membuka ruang bagi bicara petang itu.






“Mawi kahwin lagi dan sekarang saya mempunyai madu? Kononnya kerana saya gagal memberi zuriat padanya? Sampai hati dia tak jemput saya. Rasanya teringin juga nak melihat wajahnya dalam persalinan pengantin sekali lagi,” terjah Ekin mempersoalkan tuduhan terbaru yang heboh diperkatakan.


Suami tersayang yang juga penyanyi terkenal kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga, Asmawi Ani (Mawi) dikatakan berkahwin dua dengan model sambilan, Zulaikha berusia pertengahan 20-an berasal dari Johor Bahru.


Tuduhan datang lengkap dengan fakta. Pengirim yang tidak henti-henti menghantar mesej ke SELEBRITI baru-baru ini sempat memberitahu, Mawi bernikah di Melaka pada April lalu dan majlis kecil-kecilan itu hanya dihadiri keluarga sebelah Mawi memandangkan rancangan mendirikan masjid cawa­ngan kedua itu adalah satu rahsia.


Segala fakta dan dakwaan itu dibentangkan di depan Ekin yang berkahwin dengan Mawi pada Disember 2008. Reaksinya negatif. Ma­lah Ekin berdekah-dekah ketawa, terasa lucu dengan dakwaan dia dimadukan.


“Mawi menerima pang­gilan dan ditanya akan tuduhan itu. Kemudian saya pula ditemubual untuk menceritakan perasaan saya. Kami berdua ketika itu baru saja tiba dari Jakarta. Tiba-tiba cerita mengarut ini pula disumbat. Mawi hanya menggelengkan kepala dan saya tidak henti-henti ketawa.


“Jika betul tuduhan itu benar, kenapa agaknya saya tidak tahu kerana kami suami isteri hanya berenggang tatkala Mawi bekerja atau menghadiri undangan nyanyian. Selebihnya kami berkepit dan tidak pernah berjauhan.


“Malah sejak berkahwin, saya punya satu perasaan yang mampu membaca fikiran serta kelakuan suami. Mawi bukan insan begitu dan mustahil untuknya melakukan agenda sebesar itu kerana dia manusia jujur yang pasti akan terperang­kap jika benar.


“Kami tidak berbincang pun mengenai dakwaan mengarut itu, malah perkara seperti ini berlalu bagai angin daripada segunung sampah. Baunya memang busuk namun kesannya tidak lama kerana ia akan terbang dibawa angin baru kemudiannya.


“Alhamdulillah usaha sesetengah pihak yang tidak pernah kenal erti penat atau putus asa dalam menabur cerita karut mengenai kami sekali lagi gagal dan bakal menemui jalan buntu.


“Setakat ini kami berdua bahagia dan belum pula timbul rasa curiga yang mung­kin menjadi pintu keluar daripada sebuah komitmen cinta,” katanya selamba dan tidak henti-henti mengukir senyuman.


Ekin sinis dan sesekali tampak letih berdepan tuduhan seperti ini. Maklumlah wanita berusia 31 tahun ini bukan sekali dibantai sebegini, sebaliknya sejak detik pertama hubungannya dengan Mawi yang juga pemenang anugerah Artis Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian menjadi topik utama media.


Percaya dengan takdir dan ketentuan Ilahi, Ekin hanya optimis dan berusaha menjadi mesin bagi mengubah semua unsur kutukan, sindiran dan ejekan itu menjadi semangat kekuatan sebagai perisai dirinya.


Tiada lagi babak air mata atau insiden duduk termenung memikirkan nasibnya. Formula barunya, tutup mata dan ketawa kuat, pekakkan telinga dan menyanyi lantang! “Penat sudah menangis dan berendam duka masa awal-awal dulu. Namun sekarang, maaflah kalau hendak melihat saya membazir rasa sebak untuk meratap fitnah kosong seperti ini.


“Mawi sendiri akan marah jika saya memikirkan perkara sebegini. Alhamdulillah jalan hari ini yang menjadi paksi buat saya dan suami banyak membantu bagi mengorek seribu kekuatan untuk terus reda serta kekal sabar,” katanya.


Sandaran gila publisiti, menumpang nama, materialistik serta pakai tudung terpaksa adalah diari lama tahun lalu. Kali ini pembuka lembaran Ramadan tahun kedua menjadi permaisuri kepada bintang filem Jin Notti dan Magika itu, Ekin dikatakan gagal menyerikan hidup Mawi dengan tangisan bayi yang memanggilnya ayah.


Membelek wajahnya lama di depan cermin sambil membetulkan lipatan tudungnya, Ekin bertanya dengan bersulam nada seloroh, zuriat pula dipertikai. Entah apa lagi benda yang boleh dijadikan senjata membunuh dirinya.


Berita keguguran sebanyak dua kali sebelum ini benar-benar menjadi satu ikatan yang lebih utuh pasangan persis merpati dua sejoli ini. Enggan putus harap, Mawi dan Ekin terus berusaha hingga kini.


“Jauhkan kata-kata begitu. Saya maafkan mereka yang menyelar sebegitu kuat pada saya. Jujur dan ikhlas ingin saya ungkapkan, soal zuriat adalah perkara yang pernah menjemput rasa terkilan dan sedih buat kami berdua.


“Biarlah apa yang orang nak kata. Ketentuan sudah tersurat begini. Rezeki itu belum tiba dan pastinya kami akan terus mencuba.


“Wanita mana yang tidak mahu anak selepas bergelar isteri? Mawi lebih lagi kepingin menjadi bapa dan saya sudah lama impikan untuk memiliki zuriat penyambung warisan kami berdua,” katanya.


Dugaan Ekin kerana mengahwini selebriti terkenal seperti Mawi tidak mampu diterjemah dengan ungkapan biasa kerana apa yang ditelan tidak pernah difikirkan sesiapa. Malah katanya, ada kalanya fitnah dilempar itu bagai tidak pernah memikirkan soal maruah dan perasaannya.


Aidilfitri makin hampir dan bahang kemeriahannya bakal menyimbah seribu kebahagiaan buat pasangan ini. Kali kedua menyambut Ramadan dengan si suami yang punya sifat manja di sebalik perwatakan selambanya, Ekin tidak sabar-sabar untuk memenuhi hasrat mereka berdua yang gagal termeterai tahun lalu.


“Kami berdua merancang untuk berjemaah Tarawih sekerap mungkin. Jika tahun lalu, pelbagai undangan berbuka puasa dan persembahan menghalang untuk kami berlaku demikian, Mawi sedaya-upaya mengurangkan aktiviti seninya bagi mencuri ruang bersama saya di atas sejadah.


“Kami tiada masalah untuk memikirkan soal kampung siapa yang bakal menjadi destinasi pagi raya kerana rumah orang tua dekat saja.


“Justeru, selalunya saya akan membiarkan Mawi membuat keputusan itu. Hubungan kami berdua dengan keluarga mentua sangat akrab dan tiada masalah untuk berkumpul sama.


“Mawi orangnya gila nasi. Setiap hari kalau dia tak dapat menjamah nasi, mula seleranya jadi tidak keruan. Jadi pagi raya itu adalah wajib untuknya mencari nasi himpit.


“Bayangkan, dia boleh mengulang makan nasi himpit berkali-kali dalam sehari itu. Alhamdulillah, saya beruntung mendapat suami yang tidak cerewet dalam soal makan. Penting untuk buat dia berselera, nasi, kicap dan sardin,” katanya berseloroh.


Menyentuh perkembangan kerjaya pelakon drama siri Kawan sebelum ini, Ekin sibuk menyiap­kan butiknya di Wangsa Maju selain mencari bahan baru lain untuk menguatkan empayar perniagaannya.


Meskipun kuat pada ikatan suami isteri, namun kata Ekin, soal kerjaya adalah urusan masing-masing.


“Mawi ligat mengusahakan syarikat penerbitan dramanya. Insya-Allah dia ingin menjadi pengarah dan penerbit selain menyimpan hasrat menghasilkan sebuah filemnya sendiri.


“Saya pula hanya memberi fokus pada perniagaan pakaian dan tudung, namun Mawi sentiasa di belakang untuk menyokong,” katanya.


sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment