Oleh Diyanah Anuar
iyanah@bharian.com.my
2011/01/29
Irfan, Shazrina selesa layari bahtera perkahwinan bersama empat cahaya mata
DI sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita yang menyokongnya. Pepatah dari Barat ini amat tepat dengan kehidupan personaliti yang terkenal dengan jolokan 'jutawan internet', Dr Noor Irfan Khairi Noor Azmi, 34 atau Irfan Khairi.
Sokongan tidak berbelah bagi isteri tercinta, Shazrina Yusof, 36, sejak hidup bersama kira-kira 10 tahun lalu, membolehkan kejayaan dikecapinya hari ini. Irfan Khairi mula menjadi sebutan ramai selepas kisah kejayaan beliau bergelar jutawan pada usia 25 tahun hasil daripada perniagaan melalui internet dipaparkan media. Bertitik-tolak dari itu, Irfan Khairi aktif menganjurkan bengkel, ceramah dan seminar untuk memberi tip kepada orang ramai mengenai strategi perniagaan internet yang berkesan.
Tanggungjawab Shazrina bukan saja sebagai isteri dan membantu Irfan Khairi menguruskan keluarga dan empat anak mereka iaitu Ilham Abadi, 9; Kasih Kamilia Abadi, 7; Ikhlas Abadi, 5 dan Cinta Strawberry Abadi, 3, malah berganding bahu bersama suami untuk melicinkan urusan syarikat yang ditubuhkan, Irfan Khairi Sdn Bhd.
Berkongsi memori perkenalan mereka kepada sisipan Sabtu, pasangan ini bertemu di Birmingham, United Kingdom (UK) ketika kedua-duanya bekerja di sana. Kata mereka, perkenalan mereka diatur rakan masing-masing.
“Waktu itu, saya baru saja berpindah ke Birmingham selepas tamat pengajian di University Staffordshire, UK. Ketika di Staffordshire, saya tidak mempunyai ramai kawan memandangkan saya sibuk dengan pengajian di waktu siang dan perniagaan internet pada waktu malam.
“Begitu juga keadaannya ketika mula sampai ke Birmingham. Saya tidak mempunyai kenalan pun. Beberapa rakan yang paling awal saya kenal secara kebetulan adalah kawan-kawan Shazrina. Merekalah yang memperkenalkan kami berdua yang masih single ketika itu dengan alasan, wajah kami seiras,” ujar Irfan Khairi yang dulu berkhidmat sebagai Pereka Sistem Multimedia dan Perunding Internet di Birmingham manakala Shazrina bekerja dalam bidang perhotelan.
Terdorong dengan saranan rakannya, Irfan Khairi mengambil langkah pertama dengan menghantar SMS kepada Shazrina seterusnya mengajak beliau keluar menonton wayang. Shazrina pula tidak menyangka Irfan Khairi berani mengajaknya menonton filem walaupun baru berkawan dan berbual melalui SMS. Kala mula bertemu, Shazrina tidak menyangka apa yang dikhabarkan rakannya mengenai wajah seiras mereka rupa-rupanya bukanlah gurauan semata-mata.
Filem Toy Story menjadi saksi pertemuan mereka dan sejak itu, mereka semakin rapat dan sering keluar bersama.
Menurut Irfan Khairi, sejak pertemuan pertama lagi, hatinya sudah terpaut kepada Shazrina.
“Saya rasa beliau baru tahu mengenai hal ini (senyum). Pada awal perkenalan lagi, saya berasa senang bersamanya dan lama kelamaan mencetuskan rasa sayang. Keserasian yang wujud membuatkan perhubungan semakin serius dan tidak lama selepas itu kami mengikat tali pertunangan.
“Selepas kira-kira enam bulan bertunang dan kebetulan cukup setahun usia perkenalan, kami kembali ke Malaysia untuk melangsungkan perkahwinan. Kemudian, kami terbang semula ke UK dan kembali bekerja,” cerita Irfan Khairi.
Kira-kira setahun memulakan hidup berkeluarga di perantauan, Irfan Khairi dan Shazrina membuat keputusan untuk pulang ke tanah air selepas melahirkan anak sulung mereka, Ilham Abadi. Jelas Irfan Khairi, walaupun kawasan Birmingham diduduki ramai komuniti Muslim, jauh di sudut hatinya, beliau inginkan anak-anaknya membesar dalam persekitaran yang dekat dengan asal-usul mereka.
“Selain itu, kami berasakan sudah agak lama kami berada di negara orang dan sudah tiba masanya untuk pulang ke Malaysia. Lagipun, Shazrina berhenti bekerja di Hyatt Regency Birmingham dan kami menumpukan sepenuh masa mengusahakan perniagaan internet yang boleh dijalankan walaupun menetap di Malaysia,” katanya.
Mengenai rutin harian keluarganya, Shazrina berkata, beliau bangun seawal jam 5 pagi untuk menyediakan sarapan, membantu anak-anak bersiap dan menghantar tiga anaknya ke sekolah. Pulang dari menghantar anak-anak ke sekolah, Shazrina bersarapan bersama suami dan selepas itu, mula melakukan kerja rumah sambil melayan anak bongsu.
Jika tidak menghadiri bengkel perniagaan internet, program radio atau televisyen, Irfan Khairi akan bekerja di bilik yang dijadikan pejabatnya dan turun makan tengahari bersama anak-anak yang sudah pulang dari sekolah. Kemudian, Irfan Khairi dan Shazrina akan membawa anak-anak beriadah di taman dan menyambung semula kerjanya dari jam 10 malam hingga jam 1 atau 2 pagi.
Pada hari minggu pula, bapa penyayang ini lazimnya terikat dengan komitmen bengkel atau program seumpamanya. Sekali-sekala apabila berkesempatan, beliau akan membawa keluarganya membeli belah atau ke taman tema.
“Anak-anak saya ini, mereka lebih gemar duduk di rumah. Jika diajak keluar membeli-belah, mereka tidak begitu teruja. Mereka lebih suka bermain permainan video, menghadap komputer atau bermain sesama mereka,” kata Irfan Khairi.
Jadi rakan kepada anak sendiri
MENYIFATKAN keputusan membesarkan anak-anak di tanah air serta menumpukan perhatian kepada perniagaan internet di rumah sebagai langkah tepat, Irfan Khairi mengakui beliau dan isterinya menikmati banyak kelebihan berbanding pasangan lain yang bekerja.
Mereka puas dapat melihat tumbesaran dan perkembangan setiap anak sejak peringkat bayi dan sebahagian besar waktu dihabiskan bersama. Ini membuatkan hubungan mereka dengan anak-anak sangat rapat. Malah, dalam berinteraksi dengan anak-anak, suami-isteri ini lebih suka bertindak seperti rakan kepada anak-anak.
“Itulah untungnya bekerja sendiri, menguruskan perniagaan internet dari rumah. Pengurusan keluarga boleh dilakukan sendiri.
“Kami makan bersama, menemani mereka ketika belajar atau melakukan kerja sekolah, menonton televisyen dan DVD, bermain permainan video dan bermain badminton di padang bersama-sama.
“Biarpun mempunyai rakan di kawasan kejiranan rumah, anak-anak jarang meminta untuk bermain bersama rakan mereka itu. Hubungan antara adik-beradik juga cukup rapat. Malah, di sekolah, Ilham akan pergi rehat bersama-sama adik,” ujar Irfan Khairi.
Kelebihan sebagai ibu bapa yang bekerja dari rumah seperti yang dilaluinya sering diberitahu kepada peserta yang menghadiri bengkelnya. Secara peribadi, Irfan Khairi berpendapat, alangkah baiknya jika lebih ramai pasangan ibu bapa, sama ada kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka mencari rezeki melalui perniagaan internet.
Dengan cara begitu, kata Irfan Khairi, perhatian dapat diluang untuk mendidik anak-anak dengan lebih berkualiti serta mewujudkan institusi keluarga yang lebih harmoni.
Bagi pasangan ini juga, selain memberi sumber pendapatan kepada keluarga, internet turut dimanfaatkan sebagai sumber rujukan dalam kemahiran keibubapaan.
“Ada masanya, kami akan mencari sumber bacaan di internet yang berkaitan dengan kemahiran keibubapaan, pendekatan yang sesuai dalam mendidik anak-anak dan sebagainya.
“Sebagai contoh, sebelum ini anak saya mengalami sesuatu seperti alahan di kulitnya, saya rujuk internet untuk mengenalpasti apakah masalah itu, adakah ia serius hingga perlu dibawa berjumpa doktor atau boleh diubati dengan krim yang dibeli di farmasi.
“Isteri saya pula sesekali menggunakan internet untuk mencari resipi enak dan berkhasiat sebagai idea masakan untuk seisi keluarga,”kata Irfan Khairi.
Ditanya sama ada mereka berdepan dengan masalah dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, Irfan Khairi dan Shazrina menyatakan, setakat ini, mereka bersyukur kerana semuanya baik. Namun, mereka tidak mengakui, timbul rasa bimbang memikirkan cabaran yang bakal ditempuhi apabila anak-anak melangkah ke alam remaja serta terdedah dengan pengaruh negatif rakan sebaya atau persekitaran.
“Kami berharap, dengan didikan dan bimbingan yang kami beri kepada mereka sejak kecil, anak-anak mampu menilai apa yang baik dan buruk.
“Kami memberi kebebasan kepada anak-anak melakukan apa yang mereka minati. Sama ada mereka minat ke bidang
seni, teknologi atau sukan, kami akan sentiasa memberi galakanSemua usaha gigih yang dilakukan kami selama ini adalah untuk mereka,” akhiri Irfan Khairi.
- Posted using BlogPress from my iPhone 4
No comments:
Post a Comment