Monday, December 6, 2010
Naluri ibu mendalam - Rozita Che Wan
LAMA tidak ketemu bintang jelita ini. Sesekali waktu terluang, banyak cerita terungkai. Petang hujung minggu lalu Rozita Che Wan menyusun kata, meluah rasa dan menterjemah rajuk dalam sulaman bicaranya yang tidak henti.
Kononnya, artis popular yang banyak mewarnai drama dan filem termasuk Gentayangan, Kantoi, Jangan Tegur, Sifu & Tongga dan Sepi ini kecewa kerana sering dianggap serong. Tidak cukup dengan pelbagai spekulasi, ada kalanya kisah negatif yang datang bagai langsung tidak berasas.
Pujuk hati sendiri, lumrah menjadi anak seni dan dianugerahkan wajah jelita, tidak lekang dipalit kontroversi. Namun stigma itu tetap mengundang luluh dan berbekas luka jauh di lubuk jiwa.
“Siapa pula meminta untuk dijadikan papan sasaran bagi melepaskan tembakan. Bukan sekali saya dikecam. Kelakarnya, saya dituduh melalaikan golongan suami yang asyik memerhati. Ada kalanya saya ketawa mendengar cerita sedemikian.
“Saya berdiri sebagai pelakon dan bukan menjual rupa atau tubuh. Namun untuk menutup segala cerita atau memberhentikan mulut yang tidak penat bersuara itu adalah di luar kemampuan saya. Justeru, petua paling mujarab adalah tebalkan telinga dan pejamkan mata.
“Itu belum lagi mulut yang sibuk mengatakan saya dibela dan menjadi wanita tajaan gara-gara berkereta mahal dan bergaya mewah. Jujurnya saya gemarkan sesuatu yang indah dan berjenama, namun itu bukan alasan buat saya mencari sesiapa membelikannya.
“Saya bekerja keras siang dan malam untuk membesarkan anak serta membina kehidupan. Kadangkala saya rasa mahu menghantar faks saja jadual kerja saya setiap bulan untuk mereka yang sibuk menjaja cerita supaya mereka senyap kemudian,” selorohnya.
Rayu wanita kelahiran Alor Setar, Kedah ini berkali-kali, usah diungkit lagi gosip yang pernah cuba membunuh kerjaya serta reputasinya. Kali ini, SELEBRITI membongkar sisi keibuan padanya dalam membesarkan dua putera kesayangannya, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra yang baru saja langsai pengajian di tahun enam serta percaturannya dalam menyingkap langkahnya menjelang esok.
Bingkas ‘mama vogue’ ini mengukir senyum dan lantas berkongsi cerita. Khabarnya, di sebalik populariti dan kesibukannya mengejar jadual penggambaran, dia yang bermula dengan drama Cinta Terhalang empat tahun lalu masih mampu membentuk sempurna dua anaknya.
Bukan saja membesar dengan cukup makan dan pakai, malah Rozita bangga mempunyai anak bijak dan punya potensi besar sebagai pelajar cemerlang.
Meskipun tidak pernah diundang senyum menggenggam anugerah atas lakonannya, bintang peramah yang bijak berjenaka dalam bicara slanga utaranya ini menangis bangga apabila anak bongsunya mendapat keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
Mengikut jejak si abang memiliki keputusan sama dua tahun lalu dan kini menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Rozita menyifatkan saat itu adalah anugerah terindah dalam hidupnya serta cenderahati mengubat beban mengheret status ibu tunggal.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan kejayaan anak. Dulu abang dan kini adiknya pula mendapat keputusan cemerlang. Insya-Allah saya ingin menghantar Aniq Ezzra ke MRSM yang sama dengan abangnya.
“Setidak-tidaknya mudah sedikit untuk saya datang melawat memandangkan kedua-duanya memang suka bersekolah di asrama penuh.
“Soal pelajaran memang saya pentingkan sejak dulu lagi. Bayangkan, sepanjang Ogos lalu saya mengambil cuti sebulan untuk menemani Aniq mengulangkaji pelajaran.
“Malah ketika mengambil keputusan peperiksaan juga saya mencuri masa lari daripada penggambaran semata-mata mahu pergi bersamanya.
“Meskipun saya dan bekas suami sudah berpisah, saya tidak mahu perpisahan kami meninggalkan kesan kepada mereka. Kami sepakat untuk sama-sama menjaga kebajikan mereka, terutama soal pelajaran. Malah sekarang Ammar dan Aniq bercuti di Gold Coast, Australia bersama ayah mereka.
“Rasa kecewa itu datang apabila sepanjang empat tahun menjadi pelakon, yang hanya dipandang adalah aspek populariti, kerjaya dan pelbagai spekulasi membabitkan saya.
“Tidak pernah pula orang pandang sudut keibuan saya yang bangga membesarkan anak dan menangis dengan kejayaan mereka.
“Lihat saja Aniq, sebelum UPSR, dia turut menjadi johan Tilawah Al-Quran. Betapa indahnya perspektif hidup sebagai ibu yang saya miliki,” katanya.
Ingin sekali kita membongkar rahsia ‘janda meletup’ ini dalam membesarkan puteranya.
“Tiada apa rahsia, saya mengutamakan disiplin pada mereka. Saya bukan ibu yang memanjakan mereka, sebaliknya di rumah, saya ibu yang tegas namun dalam masa sama saya jadikan mereka seperti kawan yang sedia mendengar apa saja masalah mereka.
“Percaya atau tidak, seawal usia tujuh tahun lagi mereka berdua ada jadual waktu masing-masing dan hingga kini mereka sentiasa mengikut jadual yang dibuat sendiri itu.
“Mereka tahu waktu untuk belajar, mengaji, bersolat, berehat atau bermain bola. Jadi saya tidak perlu bimbang kerana kedua-duanya memang berdisiplin.
“Saya tidak mahu memaksa mereka melakukan sesuatu. Sebagai ibu, saya hanya menjadi pemerhati yang peka untuk membimbing dan menasihat jika ada kesilapan mereka.
“Walaupun kedua-duanya sudah besar, namun jika ada kelapangan dan waktu cuti, mereka akan tidur bersama saya dan ketika itu kami mencuri masa untuk berborak dan bertukar-tukar cerita,” katanya.
Taburan pelbagai kisah panas dan kontroversi yang menghempap dirinya tidak sesekali memanggil rasa ragu pada anaknya. Sebaliknya, jelas Rozita, mereka memang bijak dan menyedari yang nawaitu ibunya untuk mencari rezeki.
“Tidak pernah mereka bertanya atau mempersoalkan apa saja cerita mengenai saya di akhbar kerana mereka percaya dan yakin dengan ‘mummy’ mereka. Sejak kecil, saya sudah amalkan untuk bercerita apa saja dengan mereka.
“Justeru, hingga kini saya akan bercerita terlebih dulu dengan siapa saya berkawan atau apa saja yang saya lakukan dan rancangkan. Apabila mereka terbaca sesuatu cerita, mereka sudah tahu lebih awal,” katanya.
Sebelum ini, bintang yang mengakui menjalin hubungan cinta dengan jejaka S, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah bank di Singapura ini pernah membuat keputusan mengejut untuk bersara daripada sinar glamor pada tahun depan.
Khabarnya Rozita ingin menumpukan pada perniagaan yang masih dirahsiakan. Malah ada juga yang berbisik bahawa Rozita ingin menumpukan pada rancangan peribadinya untuk melangsungkan perkahwinan.
“Memang saya akan bersara bermula tahun depan. Sekarang pun saya sibuk di lokasi drama bersiri 13 episod, Ummu Hani, drama kedua terakhir sebelum sebuah lagi telefilem arahan Rashid Sibir pada 25 Disember ini sebagai titik akhir kerjaya saya sebagai pelakon.
“Saya mengaku ia keputusan drastik dan merancang untuk menjalankan perniagaan sendiri. Namun bukanlah kerana ingin memberi ruang untuk berkahwin.
“Jujurnya saya bukan minat berlakon, namun selama ini saya memandang kerjaya lakonan lebih mudah bagi saya mendapat pendapatan lumayan berbanding kerja lain. Justeru, saya sasarkan untuk mengumpul seberapa banyak simpanan bagi menjamin masa depan anak dan keluarga.
“Saya terlalu penat dan tidak mampu lagi untuk terus berlakon. Malah saya rasa bersalah kerana sepanjang empat tahun ini, saya tidak punya masa untuk anak dan mungkin tiba masanya buat saya menjadi ibu sepenuh masa dan hanya menjalankan perniagaan sendiri.
“Saya dengan S masih baik dan belum sempat merancang mengenai masa depan dengan muktamad. Insya-Allah jika sudah ketentuan dan jodoh, ia tidak ke mana,” katanya tersenyum
Labels:
hiburan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Make your Stick Figure Family at FreeFlashToys.com
No comments:
Post a Comment